Kebebasan dan ketenangan jiwa adalah dua perkara yang tidak mampu dibeli dengan kemewahan dan kemasyhuran. Ramai orang berpendapat dengan kemewahan dan kekayaan harta benda, seseorang itu akan mendapat kegembiraan dan kebahagiaan dalam kehidupannya. Begitu juga dengan kedudukan dan kemasyhuran seringkali dikaitkan dengan kejayaan dalam kehidupan. Namun amat sedikit diantara kita, terutamanya yang hidup di kota menghargai nilai kebebasan dan ketenangan dalam kehidupan.
Ramai manusia dianugerahkan dengan pelbagai kebolehan dan kemampuan untuk menerokai peluang-peluang dalam kehidupan. Peluang mengumpul kekayaan, mendapatkan pangkat dan posisi serta pelbagai lagi bentuk kejayaan boleh diperolehi dengan berbagai-bagai cara. Ada yang mendapatkannya setelah berusaha keras siang dan malam, berkorban jiwa raga sehingga kebebasan dan ketenangan dalam kehidupan mereka kadangkala direnggut dan tergadai begitu sahaja.
Tragedi sedih,malang dan menghayat hati yang menimpa genius Matematik berdarah Melayu dan beragama Islam (jika masih), saudari Sufiah Yusuf amat menggemparkan kesemua diantara kita yang mengikuti perkembangannya sejak lebih 10 tahun yang lalu. Masakan tidak, kejayaannya sedekad yang lalu memasuki Universiti Oxford benar-benar mengkagumkan kita. Sehinggakan ada pihak-pihak yang tampil kehadapan untuk menyumbangkan pelbagai bantuan dan sumbangan untuk memastikan aset yang bernilai itu tidak tersia begitu sahaja. Namun seperti biasa adat Melayu mencipta pepatah terkena batang hidung sendiri. Usaha pihak-pihak berkenaan tidak lebih dari sekadar hangat-hangat tahi ayam dan tidak konsisten. Lebih memalukan ia sekadar untuk mendapat publisiti murahan dan tidak lebih seperti melepaskan batuk di tangga. (UPDATE: Jadi sesiapa yang beria-ria sangat nak selamatkan budak tue, silalah selamatkan dahulu budak2 pandai esp perempuan di IPTA/IPTS Malaysia yang perangai sekarang dah ntah hape2…lagi2 kat UIAM tuuuu)
Namun tiada siapa yang tahu kisah sebenar yang berlaku disebalik tragedi ini. Tidak dapat dinafikan Sufiah mungkin tergolong dalam manusia yang dilahirkan oleh Allah sebagai genius, tetapi sistem asuhan yang terlampau keras dan rigid yang diberikan oleh ayahnya dikatakan punca kepada tekanan emosi dan perasaan yang dialaminya. Ayahnya juga mungkin menjadi sebab mengapa usaha-usaha pihak luar untuk menyumbangkan idea dan buah fikiran demi untuk kemajuan Sufiah dan adik beradiknya dilihat terbantut dan terhenti di pertengahan jalan. Farooq merupakan seorang yang terlalu berimpian tinggi untuk melihat Sufiah dan adik-adiknya mencipta kemasyhuran dalam pelajaran mereka terutama Matematik, tapi dalam masa yang sama dia telah mengorbankan kebebasan dan ketenangan hidup yang dikecapi oleh anak-anaknya. Ramai kenalan yang pernah belajar di UK sekitar akhir 90 an dan awal milenium yang pernah bertemu dengan Sufiah dan adik beradiknya, menyifatkan mereka sebagai kanak-kanak riang dan tiada masalah. Malah mereka berasa kagum melihat hubungan erat antara Sufiah dan adik beradiknya dengan ibu mereka. Namun gambaran luaran tidak mampu menceritakan azab tekanan batin yang tersimpan dalam lubuk hati mereka.
Saya mempunyai pengalaman peribadi berurusan dengan seorang lagi kanak-kanak yang diwar-warkan sebagai genius Matematik iaitu adik Adi Putra kita. Saya mendapati segala tindak tanduk dan keputusan untuk Adi dikawal secara dominan oleh ayahnya. Malah dalam banyak hal, segala pandangan dan idea dari para cendekiawan yang ingin melihat kecerdikan Adi tidak dipersiakan ditolak mentah-mentah oleh ayahnya. Jawapan yang hampir serupa yang pernah diberikan oleh Farooq, iaitu mereka berpendapat bahawa orang-orang luar itu ingin mempergunakan anak-anak mereka untuk tujuan yang tidak baik. Namun dalam masa yang sama mereka tidak sedar, bahawa merekalah yang merupakan punca kebebasan dan ketenangan hidup kanak-kanak genius itu terjejas.
Setiap kanak-kanak perlu melalui fasa tumbuseran yang seimbang dengan umur mereka. Mereka perlu bermain, bergaul, bergembira dan bersosial mengikut kehendak dan cara mereka sendiri. Konkongan dan kekangan terhadap aktiviti dan tindak tanduk mereka yang normal hanya akan menjejaskan potensi diri mereka pada masa akan datang. Tidak dinafikan potensi diri mereka berupa kecerdasan dalam matematik, telah berjaya diterokai dalam umur yang masih muda; namun perlu diingat mereka perlu diberi pilihan untuk menentukan corak kehidupan mereka sendiri. Masih jauh perjalanan hidup yang perlu mereka tempuhi. Sekiranya jiwa dan raga mereka telah terbeban untuk belajar dan menjawat ”title” genius pada usia yang muda mentah, bagaimana mereka mampu untuk menyeimbangkan keperluan naluri mereka yang lain, sementelah diri mereka masih belum lagi mencapai tahap kematangan yang sebenar?
Saya mempunyai ramai kawan yang telah cemerlang dengan begitu hebat sekali dalam kehidupan mereka. Cerita tentang mereka menikmati hidup yang bebas dan tenang akan saya kongsi dalam entry akan datang.
Akhir kata nikmatilah hidup yang sementara ini dengan penuh kebaikan dan kesejahteraan
If you enjoyed this post, make sure you subscribe to my RSS feed!



April 6th, 2008 at 10:44 am
Assalamualaikum
Saudara/i
Sy petik ayat saudara/i:
“Tidak dapat dinafikan Sufiah mungkin tergolong dalam manusia yang dilahirkan oleh Allah sebagai genius”
Saudara/i,
ALLAH tidak beranak dan tiada pula diperanakkan.
Sy faham point saudara disitu, ttp penggunaan ayat yang salah boleh menyebabkan pemahaman yg salah.
Sebetulnya saudara ingin mengatakan bahawa ALLAH telah menganugerahkan kelebihan ‘genius’ kepada Sufiah.
Itu yang sebetulnya.
Jgn ambil mudah perkara sebegini.
Dlm surah Al - Ikhlas:
Ayat ke 3 yang bermaksud;
DIA tiada beranak dan tiada pula diperanakkan.
Sy nasihatkn agar saudara lebih berhati2 dalam menulis.
Sy hanya ikhlas menegur.